"Freedom for the student is the necessary
condition for learning."
- Harold Taylor
Saya tidak mahu menghuraikan apa itu mahasiswa, parti
politik dan rakyat. Yang penting adalah hubungan antara ketiganya. Berbagai –
bagai gerakan mahasiswa ditubuhkan atas nama memperjuangkan hak mahasiswa dan
hak rakyat. Tapi apakah benar gerakan tersebut mempunyai kaitan langsung dengan
rakyat yakni golongan marginal seperti orang miskin, orang kurang upaya,
gelandangan dan sebagainya?
Sepanjang menjadi mahasiswa di salah sebuah universiti
Islam di Gombak, dan meneliti pergerakan – pergerakan mahasiswa secara amnya,
saya berpendapat sebaliknya. Sebelum kita bermula kepada isi perbincangan, kita
sedia maklum bahawa gerakan mahasiswa di Malaysia khususnya terbahagi kepada gerakan
pro – pembangkang dan pro – kerajaan. Di universiti tempat saya belajar,
gerakan mahasiswa pro – pembangkang (baca: gerakan Islam) mendominasi dan
membina pengaruh yang kuat dalam misi untuk membentuk “nilai – nilai” Islamnya.
Ketika saya masih mentah dalam dunia gerakan mahasiswa
ini, saya sentiasa kagum melihat anak muda dari kalangan mahasiswa begitu hebat
berjuang, melawan kezaliman, menentang penindasan sambil melaungkan slogan “Hidup!
Hidup! Mahasiswa! Tumbang! Tumbang! Kezaliman!” dan melakukan demonstrasi demi
demonstrasi dan terpampang pula isu – isu mereka di dada – dada akhbar. Apa
yang saya fikirkan adalah ini benar – benar dari mahasiswa untuk mahasiswa,
dari mahasiswa untuk rakyat.
Namun, masa berlalu, lama kelamaan, kebusukan agenda
parti politik menyusup. Kini saya sedar, gerakan mahasiswa ini tidak dapat
berdiri dengan sendirinya. Mereka dibayangi dengan parti politik. Mereka membawa
ideologi parti politik. Parti – parti politik ini malah dengan curangnya
menggunakan universiti sebagai saluran menyebarkan agenda mereka dengan
merekrut mahasiswa – mahasiswa menjadi patung – patung mereka. Malah,
menggunakan pula agenda “anti –
establishment” bagi menarik minat mahasiswa bahawa kebenaran berpihak
kepada mereka yang melawan kerajaan. Jika di luar, parti – parti politik
pembangkang dianggap sebagai hero bagi menyelamatkan negara dari kerajaan yang
zalim, fahaman yang sama juga di bawa ke dalam universiti bagi memberi tahu
mahasiswa bahawa perjuangan menentang kezaliman itulah punca wujudnya gerakan
mahasiswa.
Permainan ini
tidak berhenti di sini. Kerajaan juga, bagi mengawal kebangkitan mahasiwa –
mahasiswa ini, bertungkus – lumus, memanipulasi pentadbiran dan dalam masa yang
sama menggunakan juga konsep “gerakan mahasiswa” bagi menangkis cubaan fahaman
ini yang mengatakan gerakan mahasiswa pasti menentang kerajaan.
Wujudnya gerakan mahasiswa yang menyokong kerajaan ini
pasti memberi dialektik yang berguna bagi menstabilkan sikap anti-kerajaan
tersebut. Akhirnya, kini apabila laungan perjuangan mahasiswa dijeritkan, kita
pasti tahu akan adanya pembahagian ini.
Perjuangan untuk apa?
Saya menjadi bingung, apakah tanpa parti politik,
mahasiswa tidak boleh membina gerakan membantu rakyat? Apakah mahasiswa
semestinya mengikut rentak parti politk untuk membela rakyat? Mengapa apabila
perbincangan politik berlaku, mahasiswa harus memilih sama ada menyokong atau
menentang kerajaan? Apakah penentangan harus bersama parti politik? Apakah
tanpa parti politik, mahasiswa dungu dan bebal untuk buat kerja lapangan dan
bersama masyarakat?
Seringkali saya bertanya soalan begini kerana setiap
kali mereka melaungkan perjuangan mahasiswa, saya nampak agenda parti politik
di belakang mereka. Istilah “pressure
group” ataupun “third force” yang
sepatutnya dibawa oleh mahasiswa hancur berkecai sama sekali. Sepanjang
bergelar mahasiswa, sejujurnya kita boleh mencongak sendiri berapa ramai dari
ribuan mahasiswa yang ada di universiti yang benar – benar mengambil tahu
tentang politik. Mengapa mereka tidak mahu terlibat? Berdasarkan pengalaman
saya berdiskusi dengan rakan – rakan, mereka bukan tidak mahu tapi mereka sudah
bosan dengan cara politik dimainkan.
Setiap kali mereka cuba untuk mengambil tahu tentang
politik, mereka pasti terperangkap dengan kedua-dua “school of thought” ini. Pro – pembangkang atau kerajaan. Dalam zon
pertembungan kedua-duanya itu penuh dengan politik kotor, caci maki, fitnah –
memfitnah, sabotaj mensabotaj, sudah menjadi kebiasaan, sudah menjadi adat
resam, sudah menjadi norma antara keduanya atas nama demi mahasiswa dan rakyat.
Kesannya, setiap kali isu politik dihadapkan ke muka mereka, mereka menjadi
meluat dan benci kerana terpaksa berhadapan dengan carca marba politik
kepartian.
Gerakan mahasiswa yang berselindung di sebalik
dineutralannya pula, hari demi hari, bau busuk mereka tidak dapat dielak lagi.
Sudah jelas, nyata dan terang , parti apa yang mereka bawa dalam perjuangan.
Gerakan ini tidak lagi menjadi “third
force”atau “pressure group”
seperti yang digembar – gemburkan. Akan tetapi badut – badut parti politik yang
menyusup dalam kalangan mahasiwa lain secara amnya. Mereka membawa masuk
kebusukan cara permainan politik luar ke dalam universiti.
Sudahlah busuk, malah bersikap ekslusif pula. Gerakan
mereka membuat keputusan hanya di kalangan mereka. Mereka tidak pernah berusaha
untuk mendapatkan persetujuan kesemua mahasiswa sebelum membuat apa-apa
tindakan atas nama mahasiswa. Mereka malah hanya membawa perbincangan dengan
parti – parti politik yang mereka imani. Kesannya, sejumlah besar mahasiswa
yang tidak cakna tentang isu – isu sosio – politik ini terpinga-pinga
perjuangan apakah ini? Perjuangan untuk siapa sebenarnya? Untuk mahasiswa?
Untuk rakyat? Atau untuk parti politik kamu?
Malah lebih buruk lagi, setelah lama membina pengaruh
dan berkuasa, mereka menjadi lupa diri. Mereka sangka mereka mempunyai sokongan
yang kuat. Mereka sangka mereka punya legitimasi atas perjuangan mereka tanpa
mengambil kira faktor ketidakpedulian dan suasana masyarakat mahasiswa setempat
yang memberi kemenangan bonus kepada mereka.
Penyatuan mahasiswa: Suatu Utopia?
Sebab itu, saya sentiasa percaya yang mahasiswa perlu
bersatu atas satu paksi. Atas satu identiti. Identiti mahasiswa semata – mata.
Tidak ada campur tangan parti politik.
Itulah satu – satu jalan di mana
mahasiswa boleh bersikap objektif dalam merespon isu – isu politik dan perkara –
perkara yang melibatkan kesusahan rakyat dan golongan marginal. Mahasiswa akan
dapat menjadi benteng kepada rakyat tanpa kebusukan parti politik. Malah,
mahasiswa tidak perlu untuk menunggu “arahan” dari parti politik untuk merespon
isu rakyat yang ada kepentingan dengan mereka sahaja.
Perkara ini bukan tidak pernah berlaku. Peristiwa
Baling 1974, menyaksikan gerakan mahasiswa yang bebas parti merespon isu
masyarakat secara bersama dan bersatu.
“Pada November-Disember 1974, berlaku Peristiwa Baling. Pada 19 November 1974, lebih 1,000 orang petani yang miskin di Baling mula mengadakan demonstrasi. Pada 21 November, jumlahnya menjadi lebih 13,000 orang dan menjadi 30,000 pada 1 Disember. Seramai 5,000 orang mahasiswa mengadakan demonstrasi pada 3 Disember di Kuala Lumpur sebagai menyokong nasib mereka dan mendesak kerajaan supaya dengan segera menyelesaikan masalah inflasi; menaikkan harga getah ke tahap yang munasabah; dan, mendedahkan dan menghukum semua Menteri dan Menteri Besar yang rasuah. Seramai 1,128 orang mahasiswa telah ditahan.”- Kalau Saya Mahasiswa – Saifuddin Abdullah
Kita bukan mahu meniru
bulat-bulat bagaimana gerakan yang lepas dilakukan. Kita cuma mahu elemen
penyatuan suara mahasiswa itu padu dan teguh dalam isu-isu masyarakat. Apabila
mahasiswa bersuara mengenai isu masyarakat, mereka tidak punya apa-apa
kepentingan politik. Yang ada hanyalah rasa simpati,empati dan sikap
tanggungjawab untuk membela nasib rakyat yang tertindas.
Kesimpulan
Mahasiswa harus bebas. Bebas dari segalan entiti politik kepartian untuk benar-benar mendapatkan kepercayaaan masyarakat. Mahasiswa harus berusaha dalam mengangkat isu – isu masyarakat dan golongan marginal dengan bebas dan merangka “Kesatuan Mahasiswa” yang menghimpunkan seluruh gerakan mahasiswa seluruh negara untuk pertemuan bulanan mahupun tahunan bagi merangka strategi bersama dan mendapatkan dana sendiri tanpa pengaruh dari sesiapa. Mahasiswa perlu menggunakan sumber manusia yang ada sebanyak yang mungkin bagi menarik keseluruhan mahasiswa seluruh universiti menyertai dalam memberdaya masyarakat dan dengan tidak langsung menjadi bukti gerakan mahasiswa bukan sahaja tahu berdemo, malah menawarkan solusi pembangunan rakyat.

No comments:
Post a Comment