"Apabila kita menyentuh kemanusiaan dalam
diri manusia, ia akan bangun walaupun terpendam, walaupun mati.Apabila kita
menyentuh kemanusiaan, ia bangkit."
Youssef Nada, 2012
Sejak Ikhwan Muslimin ditubuhkan pada tahun 1928,
berbagai ujian dan cabaran yang terpaksa dilalui oleh organisasi ini untuk
mengesahkan kewujudannnya lebih-lebih lagi di tanah air pengasasnya Imam Hassan
Al-Banna, di Mesir. Asalnya, ia ditubuhkan bersama enam orang lagi pekerja
Syarikat Terusan Suez berdasarkan prinsip Islam kemanusiaan. Disebalik kukuhnya
pengaruh Ikhwan Muslimin (IM) di seluruh dunia yang kini ahlinya mencecah 100
juta, adanya seorang ‘negarawan’ atau ‘menteri luar’ IM, Youssef Nada yang
begitu hebat sebagai juru runding dalam banyak perkara yang melibatkan
kepentingan umat Islam.
Youssef Nada sejak kecil lagi sudah mempunyai minat
dan semangat dalam isu-isu ketidakadilan . Seawal usia 12 tahun, beliau sudah
mula mengunjungi mahkamah dan kagum dengan proses penghujahan dan debat yang
berlaku di dalamnya termasuklah ketidakadilan yang terpalit bersamanya.
Begitulah dunia perundangan menyusup ke dalam peribadinya yang mengajar beliau
supaya sentiasa teliti dalam apa-apa perkara dan membuat sesuatu di atas landasan
undang-undang.
Di zaman pemerintahan Gamal Abdul Nasser yang
merupakan seorang ahli Ikhwan yang membelot selepas revolusi 1952 menentang
Raja Farouk, Nada dihantar ke penjara tentera semasa berusia 23 tahun. Beliau
menyaksikan pelbagai penderitaan yang dirasai ahli-ahli Ikhwan yang dipenjara
dan diseksa oleh tentera-tentera Mesir dalam sel-sel tahanan Penjara Tentera
Abbasia itu. Antaranya ,seorang tokoh ulama terkenal ketika itu, Muhammad
Al-Qaraxi yang begitu banyak memberi pengajaran kepada beliau tentang
menghadapi kezaliman dengan rendah diri dan menghadapi kekuatan dengan
kebijaksanaan.
Disebabkan Nada mempunyai keluarga yang berpengaruh
yakni ibu bapanya , Mustafa Ali Nada dan Nemat Abu Saud, beliau bernasib baik
terselamat dari mati di dalam kem tahanan. Bapanya mempunyai sebuah ladang dan
kilang hasil tenusu dan ibunya yang begitu terkenal dengan kebaikan dan
keramahannya sehingga dihormati masyarakat sekelilingnya termasuklah sebahagian
pegawai-pegawai tentera yang bertanggungjawab ke atas penahanan Nada.
Semasa belajar di universiti, Nada sudah mengusahakan
sebuah perniagaan produk tenusu dengan kaitan rapat sebuah pejabat eksport.
Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1959, beliau mengembangkan lagi
perniagaan dengan membekalkan susu Pasteur kepada syarikat Swiss di Mesir
selain menjadi satu pertiga sumber minuman susu di kawasan tempat tinggalnya. Kerana
terus-terusan ditekan di bawah “Negara polis” Mesir, beliau bertekad berhijrah
ke luar negara pada tahun 1960 dan menjadi usahawan antarabangsa yang berjaya
dengan menubuhkan pejabat di Vienna, Tripoli , Riyadh, Glasgow dan
Liechtenstein.
Jaringan Diplomatik
Kejayaan perniagaan beliau dalam bidang pembinaan
selain khimat penghantaran komoditi-komiditi seperti carousel, jagung,minyak,
barli dan gandum yang merentasi Timur Tengah, Afrika, sehingga benua Eropah,
memberikan peluang besar dengan meritnya membina jaringan dengan ahli-ahli
politik terkemuka selain rakan niaganya. Antaranya ialah Presiden Tunisia ketika
itu, Habib Bourghiba, Raja Idris di Libya sebelum digulingkan Gaddafi, yang
membolehkan beliau dianugerahkan kerakyatan penuh Tunisia dan disokong kuat di
Libya dengan perniagaannya yang berkembang pesat dengan 36 kapal di laut yang
mengangkut minyak ,besi , simen, barli dan gandum yang menyumbang besar
terhadap ekonomi Libya.
Selepas Raja Idris digulingkan, nama beliau tersenarai
sebagai orang yang dikehendaki Gaddafi dan sempat melarikan diri ke Vienna
bersama-sama peguamnya , Ghaleb Himmat yang kemudian menjadi orang kanan yang
paling beliau percayai sepanjang urusan perniagaan dan politiknya. Selepas
kematian Nasser, Anwar Sadat mengambil alih kuasa dan memanggil semula
ahli-ahli Ikhwan kembali ke Mesir dan membebaskan ramai dari penjara. Namun ,
itu tidak menukar fikiran Nada untuk kembali ke Mesir kerana pengalaman
buruknya malah pada tahun 1977, beliau menetap di Campione D`Italia, sebuah
kawasan pergunungan yang indah mengadap Tasik Lugano.
Beliau mempunyai pengaruh di Arab Saudi melalui Putera
Mohammed Al-Faisal, anak kepada Raja Faisal yang dibunuh dan bekerjasama
menubuhkan sebuah bank. Islam di Mesir. Walaupun Sadat berjanji untuk tidak
memberi apa-apa masalah untuk ahli-ahli Ikhwan untuk pulang, Nada tetap tidak
mempercayainya kerana beberapa insiden yang berlaku ketika mesyuarat ahli
lembaga pengarah di Mesir. Akhirnya, beliau meletak jawatan dan bertekad untuk
tidak kembali lagi.
Tahun 1979. Revolusi Iran yang sering dilabel sebagai
Revolusi Islam menggemparkan dunia dengan ketokohan Ayatollah Sayyid Ruhollah
Khomenei yang berjaya menumbangkan Shah
Iran, Muhammad Reza Shah Pahlavi yang menandakan berakhirnya sistem monarki
yang sudah berterusan selama 2,500 tahun sebelumnya. Nada , mewakili Ikhwan
mengatur perjumpaan mengucapkan tahniah kepada Ayatollah atas kemenangan
tersebut setelah berterusan memantau perjalanan politik Iran sebelumnya.
Hubungan politk Iran-Amerika menjadi berantakan selepas sekumpulan
pelajar-pelajar radikal Iran merampas kompleks kedutaan Amerika di Iran dan
menahan beberapa pegawainya sebagai tebusan.
Ini menyebabkan Amerika menghubungi Ikhwan sebagai
organisasi Islam bagi meminta pertolongan melalui pemimpin tertinggi Ikhwan
ketika itu Omar Al-Telmesamy (1972-1986), untuk berunding dengan Iran. Nada
dihantar bagi menjalankan misi tersebut. Pimpinan Amerika , di bawah Presiden
Jimmy Carter, walaubagaimanapun tidak meneruskan rundingan malah melancarkan
Operasi Eagle Claw bagi menyelamatkan tebusan tetapi gagal dengan teruknya
selepas terkandas di padang pasir.
Namun, pada tahun 1980,baru setahun selepas Revolusi
Iran, dan ‘mood’ anti-Amerika, Saddam Hussein pula melancarkan perang terhadap
Iran. Peristiwa ini mendorong kerajaan Iran berunding dengan Amerika dan pada
tahun yang sama , Presiden Amerika yang baru, Ronald Reagan dilantik
menggantikan Jimmy Carter dan tebusan Amerika dibenarkan dibawa keluar dari
Iran dan asset USD8 billion Iran yang dibekukan di Amerika dilepaskan.
Ikhwan ketika ini tersepit di tengah-tengah. Perang
tersebut retoriknya simbol kemuncak yang memecahbelahkan lagi perpecahan Sunni
dan Syiah. Disebabkan hubungan diplomatic yang dibina Ikhwan, ramai
tertanya-tanya posisi Ikhwan sama ada agen Arab Saudi, negara-negara Teluk,
Iraq, Amerika, UAE, Mesir atau Iran atau kepentingan sendiri yang tersembunyi?
Disinilah Nada, sebagai Menteri Luar Ikhwan memainkan peranan yang sangat penting
bagi mengawal hubungan diplomatic dengan semua negara Islam dan juga kuasa
besar bagi menguntungkan umat Islam. Arab Saudi mengharamkan apa-apa sahaja
yang bersangkutan dengan Iran. Sekatan ekonomi yang dikenakan keatas Iran pula menyebabkan
Iran kekurangan makanan dan keperluan lain dan ini menyebabkan Menteri
Perdagangan Iran, Reza Sadr, meminta bantuan Nada. Nada mengangkut 100 ribu tan
besi dan 450 ribu tan gandum ke Iran dan kerugian sebanyak USD5 juta usai
proses itu dijalankan.
Konflik Sunni-Syiah juga merebak di dalam Iran.
Pergeseran, puak minority Sunni Kurdish Iran dengan pengawal revolusi semakin
menjadi-jadi dan akhirnya , ketuanya Ahmad Moftizadeh dibunuh dan Presiden
Iran, Abolhasan Banisdar pula lari ke Perancis selepas berselisih dengan
Ayatollah Khomenei. Konflik sectarian ini sangat berguna untuk dimanipulasi
Barat bagi memecahkan kesatuan Arab. Perdana Menteri Britsih , Campbell
Bannerman pernah berkata :
“Di Timur Tengah, mereka mempunyai agama yang sama,bahasa yang sama, perasaan yang sama. Maka kita perlu memecahkan mereka”
Ini sangat jelas pada tahun 1950-an, ketika Nasser
melancarkan nasionalisme Arab bagi menentang pengaruh Amerika, Amerika
menggunakan Shah Iran bagi menentang Nassser. Tidak cukup dengan itu, Amerika
meyakinkan Arab Saudi, melalui Raja Faisal dan kemudian Raja Fahd untuk
bersama-sama Shah menentang Nasser.
Namun selepas Nasionalisme Arab gagal selepas kalahnya
perang Arab-Israel 1967, Nasser menjadi lemah dan meminta pertolongan Raja
Faisal dari Arab Saudi. Arab Saudi pula bersetuju membiayai Mesir dan
ketenteraannya bagi membina kembali kekuatan. Tak lama selepas itu, Nasser
meninggal dunia dan digantikan oleh Anwar Sadat.
Selepas Sadat menandatangi perjanjian damai dengan
Perdana Menteri Israel, Menachim Begin, pada tahun 1979, selepas Perjanjian
Camp David setahun yang awal, beliau dituduh mengkhianati dunia Arab dan mereka
memindahkan Liga Arab dari Kaherah ke Tunisia. Kini, tibalah giliran Saddam
Hussein sebagai hero dunia Arab.
Aneh dan ironis bukan? Kegilaan konflik yang carca
marba ini tak berhenti disini.
Orang Arab dan Amerika pula membantu Saddam Hussein
menentang Iran! Sedangkan Saddam menghentam pemimpin-pemimpin dunia Arab kerana
mengkhianati Arab di dada akhbar, televisyen dan radio. Akan tetapi, pemimpin
zalin dan dictator Saddam dibantu atas nama pemimpin Sunni bagi menentang
pengaruh Syiah. Begitulah Amerika dan kepentingannya. Amerika sepanjang misi
imperialnya begitu taktikal dan bijak menggunakan pemimpin-pemimpin dictator
dan monarki dan isu-isu sektarian bagi menjaga kepentingan beliau di Timur
Tengah.
Banyak juga contoh lain di luar Timur Tengah. Noriega,
pemerintah kejam di Panama merupakan sekutu kuat Amerika. Namun selepas Amerika
tidak lagi menyokongnnya, beliau dicampak ke penjara. Perkara yang sama juga
berlaku kepada Mobutu di Congo yang juga
adalah sekutu kuat Amerika di Afrika. Ferdinand Marcos, di Asia Tenggara juga
menghadapi nasib yang serupa begitu juga Shah Iran dan kemudian giliran Saddam
menjadi buah catur Amerika bagi mengawal kebangkitan Revolusi Iran.
***************************************************************************
Pengaruh Nada hampir ada pada setiap pemimpin Islam di
seluruh dunia. Selain di Timur Tengah, beliau juga pernah mengadakan rundingan
dengan Gulbuddin Hekmatyar, orang paling penting di Aghanistan yang mengetuai
Hezbul Islami yang memerangi Soviet. Misi beliau semasa berkhidmat dengan
Ikhwan ialah menghentikan keganasan. Beliau percaya itulah sebab Ikhwan wujud.
Untuk menghentikan keganasan sesama muslim dan bersatu.
Bagi beliau perang saudara Sunni-Syiah, nasionalisme
Arab, sifat kepuakan merupakan perang palsu yang merosakkan dunia Islam.
Amerika sentiasa mahukan perkara itu berlaku agar mereka mendapat keuntungan
sebanyak-banyaknya. Tapi, kita sering terperangkap dengan konflik yang tidak
berkesudahan ini. Nada menyangkal dakwaan bahawa Ikhwan mahu mewujudkan sistem
Khilafah dengan mengangkat seorang khalifah sebagai ketua negara. Beliau malah
percaya dengan sistem demokrasi yang tidak bercanggah dengan Islam. Ia adalah
sistem terbaik untuk membahagi dan memisahkan kuasa bagi mencapai keadilan
dengan segala kekurangan dan kelemahannya untuk diperbaiki.
Pada tahun 2010, unggun api revolusi Arab dinyalakan
semula oleh Mohamed Bouazizi yang membakar dirinya gara-gara kemiskinan
melampau yang dihadapinya di Tunisia. Satu persatu diktator dunia Arab
ditumbangkan oleh rakyat. Di Mesir, Hosni Mubarak terpaksa meletakkan jawatan
selepas 30 tahun pemerintahannya atas desakan rakyat.Ikhwan Muslimin pula
melalui Freedom and Justice Party (FJP) memenangi hampir 47 peratus daripada
keseluruhan parlimen diikuti Parti An-Nour sebanyak 25 peratus berbanding
golongan minority parti-parti liberal yang menduduki tempat ketiga.
Namun Youssef Nada sepanjang hayatnya,masih bimbang
yang FJP tidak menyediakan siapa-siapa yang mampu menerajui negara apatah lagi
dalam keadaan ekonomi yang kering kontang dari segi luaran dan dalaman. Ikhwan
tidak boleh memerintah secara total tapi perlulah mewujudkan pemerintahan
campuran. Beliau malah tidak bersetuju Ikhwan menghantar calonnya bagi
bertanding jawatan Presiden namun, mahu tidak mahu keputusan dibuat dan
akhirnya Morsi menang pilihanraya tersebut.
Ujian terhadap Youssef nada tidak berhenti disitu.
Beliau dituduh secara peribadi oleh
Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush sebagai penyumbang kepada dana
bagi keganasan melalui bank beliau , Bank At-Taqwa. Beliau dituduh tanpa
sebarang bukti dan beliau di tahan di rumah beliau di Swiss sejak tahun 2001
dan sehingga tahun 2001. Aset beliau dibekukan dan walaupun nama beliau telah
dikeluarkan dari pada PBB, sehingga 2012, nama beliau masih disenaraikan dalam
senarai Amerika.
Kesimpulan
Buku biografi tentang Youssef Nada ini sarat dengan
pelbagai rundingan dan ujian yang dihadapi oleh Nada mahupun sebagai ahli
perniagaan dan juga Menteri Luar Ikhwan yang berperanan penting dalam
menjayakan berbagai-bagai misi keamanan bagi menghalang keganasan. Amat sukar
untuk membuat rumusan, kerana tidak ada suatu maklumat pun yang tidak penting
yang boleh kita ketepikan. Segala macam isi rundingan, konflik yang ditangani,
malah fahaman-fahaman Nada tentang demokrasi, sekularisme, kebangkitan Islam,
perang saudara Sunni-Syiah, kegilaan Al-Qaeda, keganasan puak-puak
ekstremise,fahaman Islam yang sempit dan bermacam lagi peristiwa konflik dunia
Islam yang wajar kita perhatikan.Walaubagaimanapun, rumusan ini saya kira,
mengambil sebahagian kecil peristiwa-peristiwa rundingan yang dilakukan oleh
beliau dan kekalutan konflik dunia Islam di Timur Tengah. Banyak lagi bab-bab
yang perlu dihurai secara lanjut dan dibahaskan oleh siapa-siapa yang sudah
membaca buku ini. Akhir kata, marilah kita merenung kata-kata Vladimir Lenin ini
,
“Jikalau kita tidak membuktikan hubungan antara perang dengan politiknya sebelum itu, maka kita tidak akan memahami apa-apa dalam peperangan ini”
Mudah-mudahan pembaca mendapat manfaat dan membuat
bacaan tambahan dan mengesahkan segala yang diterangkan dalam rumusan ini.
Sekian.

No comments:
Post a Comment