Sunday, 10 November 2013

Keterbatasan Kebarangkalian




"Religion is the recognition of all our duties as divine commands"- Immanuel Kant

Kewujudan manusia mahupun segala kejadian alam ini tidak lari dari tujuan dan matlamat. Tanpa tujuan, segala sisi kehidupan tidak akan wujud. Kewujudan itu pula berasal dari yang mewujudkan. Makanya, untuk tetap memaknai kewujudan dan segala tujuannya, maka perlulah memahami kehendak dan mesej-mesej oleh yang mewujudkan . Kehendak yang diterima manusia itu pula diturunkan melalui manusia-manusia agung penerima wahyu. Wahyu itu pula berbentuk tulisan, teks-teks yang menceritakan khabar-khabar nikmat dan siksa, hukum-hakam, peraturan-peraturan , mukjizat-mukjizat, berita-berita akhirat dan segala macam kisah taat dan ingkar manusia atas mesej yang disampaikan pengutus wahyu oleh sang pencipta. 

Di saat penurunan teks-teks itu, menurut Nasr Hamid Abu Zayd, mengikut acuan setempatnya, budaya, bahasa, tabiat manusia dan sejarahnya. Namun begitu , setelah teks siap diturunkan, dibaca, difahami makna dan konteks perlaksanaanya, malah dikumpulkan, maka proses penyebaran teks yang telah siap dan sempurna berlaku sepanjang sejarah. Tanpa mengambil kira peranan besar konteks dalam penurunan teks, pensakralan, pengkudusannya telah menyebabkan makna-makna dan hikmat pesan-pesan Sang Pencipta dibekukan di dalam kesempurnaan “hakikat kebenaran” teks. 

Cara memaknai kewujudan itu ditanggapi manusia-manusia selepasnya dengan menerima kesempurnaan teks tanpa menghargai nilai-nilai budaya setempat yang unik, tabiat-tabiat yang berbeza, masalah-masalah baru yang berbeza, sosio-ekonomi yang berbeza, struktur politk yang berbeza , strata sosial yang berbeza dan segala macam sisi konteks yang wajar dibentangkan.

(ii)

Kesempurnaan teks ini pula sudah tentu tidak datang dengan magis atau mukjizat. Ia disampai dan dikumpulkan oleh manusia-manusia mulia yang berhasil memaknai pesan-pesan agung teks dan menatijahkan mukjizatnya sesuai di zaman mereka. Mereka merupakan penjaga-penjaga periwayatan teks yang teliti supaya isi-isi  yang dikumpulkan dan diberitakan adalah benar dan tidak bercanggah.
Zaman berlalu dan kita pula semakin jauh ditinggalkan pengutus wahyu. Yang tinggal hanyalah sebuku wahyu yang telah dikumpulkan . Ia pula dibaca dan diteliti manusia mulia selepasnya  pula bagi menatijahkan pula hikmah dan pesan-pesan agung teks bagi merahmati alam dengan memahami cara memaknai kewujudan. 

Manusia pasti dan wajib tahu, tanpa kewujudan difahami dan diteliti, pastinya alam yang dibentangkan tidak akan memanfaatinya. Apa yang dikehendaki oleh Sang Pencipta untuk diambil ciptaan paling agungNya pasti akan bersanggahan dan menatijahkan kerosakan yang fatal.
Sampai pula era kini. Teks yang telah lengkap itu sewajibnya menceritakan pesan-pesan agung yang sama. Namun bezanya, ia tidak lagi disampaikan terus oleh pengutus wahyu. Namun bagi menyempurnakan kekudusan teks, wujudnya autoriti-autoriti yang juga manusia, dan juga menggunakan akal dan rasional dan kelimuan mereka bagi menjawab persoalan-persoalan umat yang terkemudian ini. 

Malangnya, interpretasi autoriti-autoriti ini  terhadap teks dianggap sakral dan kudus. Yang sepatutnya kudus yakni pesan-pesan teks yang terselindung dan sepatutnya dirungkai bersama konteks tidak lagi dijadikan sandaran. Apa yang dikuduskan ialah teks dan autoriti-autoriti ini terhadap teks. Kini, pesan-pesan dan hikmah dianggap kebenaran mutlak dari mulut-mulut mereka.
Interpretasi teks yang mereka bacakan bukan lagi tertakhluk kepada akal-akal rasional manusia untuk berani mempersoalkan, mengkritik , merungkai dan membangunkan interpretasi baru. Malah, ruang-ruang bebas kritikan ini dilindungi oleh kekudusan mereka dan autoriti mereka terhadap teks.
Teks kini tidak lagi dipunyai sekalian manusia.

 Ia dipunyai oleh sekolompok elit manusia yang menjadi autoriti terhadapnya. Hak mengeluarkan dalil dan hak atas kebenaran hanya berada di dada-dada mereka. Barangsiapa yang cuba mempertikaikan akan dianggap jauh dari cahaya. Ya, cahaya mereka sebenarnya. Cahaya rahmat Sang Pencipta dipagari dan dibayangi cahaya mereka. 

Manusia selainnya keliru antara apa yang menjadi rahmat manusia dan apa yang menjadi rahmat Sang Pencipta. Apakah yang dilontarkan oleh bicara autoriti-autoriti ini suatu hakikat pasti yang ingin disampaikanNya? Ataupun ia hanyalah interpretasi dari keterbatasan akal autoriti? Sangat malang. Kebanyakan manusia telah menyerahkan diri dari daya pertimbangan dan upaya berfikir mereka. Sebahagian mereka bukan tidak mahu. 

Tetapi ruang untuk itu sangat bahaya. Ia ruang bebas yang terdedah kepada tuduhan sesat, jahil , terpesong dan sebagainya. Ia ruang yang memerlukan mereka mempersiapkan diri dengan kesungguhan hujah dan daya tahan. Ia ruang yang sentiasa bergolak dan keimanan mereka akan dijungkir balik. Nah! Itulah ujian yang sebenarnya! Iman mereka akan diuji. Iman mereka akan digoncang. Selagi mana mereka tetap utuh menggunakan akal kurniaan Sang Pencipta, selagi itu cabaran apa pun mudah mereka tempuhi. 

Ini sama sekali tidak mensakralkan akal mereka. Akal dan rasional mereka hanya akan diasah lebih tajam dan padu. Akal mereka hanya akan membuka minda mereka kepada pendapat yang berlainan dari sisi mereka. Akal mereka hanya akan memisahkan apa yang menjadi pendapat mereka dan hakikat mutlak pesan-pesanNya. Akal mereka akan membenarkan orang lain berbeza pendapat dengan mereka.Akal mereka akan mengharmonikan interpretasi-interpretasi yang menolak pendapat mereka.

(iii)
Mereka justeru percaya kepada kebarangkalian. Ya, intrepretasi mereka itu punya kebarangkalian. Kebarangkalian benar atau salah. Dan itulah misteri yang ditunjuki Sang Pencipta. Supaya manusia tidak henti-henti mencarinya. MencariNya melalui tanda-tanda kekuasaan dan kisah-kisah yang menjadi teladan. MencariNya dengan kebarangkalian. Tidak putus-putus membuat pertimbangan. Tidak pernah lelah merungkai persoalan. Tidak pernah takut menjejaki luar lingkungan. Kerana mereka tahu, di alam selepas mati, tiada siapa yang akan menjawab untuk mereka. Bahkan mereka sendiri lah yang bertanggungjawab atas diri mereka sendiri. Tiada autoriti bisa menyelematkan mereka. Mereka tidak lagi boleh menuding jari terhadap orang itu dan orang ini atas kesilapan mereka. Mereka menanggung apa yang mereka percaya dan menjawab kenapa mereka mempercayainya. 

Itulah hakikat insan yang sebenar. Dosa dan pahala hanya sah apabila mereka mempunyai akal. Alangkah malang jika ia tidak digunakan bagi memaknai kewujudan mereka. Merekalah yang harus mencari hakikat taqwa terhadap Sang Pencipta. Dia sangat dekat dan tidak sepatutnya mereka menjadikan autoriti-autoriti sebagai berhala-berhala yang menjadi perantara antara mereka dengan Dia.

Kebarangkalian itu memberi mereka tenaga dan kekuatan  untuk terus mencari dan mencari. Namun begitu, kebarangkalian itu punya keterbatasan. Sepertimana akal mereka terbatas, seperti itu jualah kebarangkalian akan terbatas. Keterbatasan ini menariknya bukan mencengkam akal mereka, malah mendidik akal mereka untuk menerima hakikat yang kebenaran itu, selagi mana datang dari akal manusia, selagi itulah ia punya kebarangkalian.Wallahu`alam

No comments:

Post a Comment