Sunday, 10 November 2013

Memahami “Islam Liberal” dan Cabaran “Hermeneutika” Terhadap Islam





Memahami “Islam Liberal” dan Cabaran “Hermeneutika” Terhadap Islam

Dalam perbincangan yang popular hari ni, kita sering dipersembahkan dua paradigm pemikiran yang popular ; konservatif dan liberal/progresif. Apabila ia dikaitkan dengan Islam, ia memberikan cabara kepada umat Islam sama ada ingin mengelompokkan pemikiran mereka diantara salah satu paradigm tersebut.

 Umumnya golongan konservatif lebih cenderung untuk menerima tradisi keilmuwan yang telah diperturunkan dari generasi ke generasi dan menggunakan prinsip pegangan yang sama untuk konteks hari ini. Golongan liberal pula lebih cenderung untuk merungkai kembali tradisi ini dan menggunakan rasional bagi menjawab persoalan-persoalan dalam konteks moden. 

Dalam artikel ini, saya akan membentangkan beberapa perkara penting yang dibahaskan oleh Dr. Ugi Suharto dalam bukunya “Pemikiran Islam Liberal” dahulu pada bahagian yang pertama, dan pendapat saya ke atasnya pada bahagian yang kedua. 

Bahagian 1

Menurut Dr Ugi, istilah “Islam Liberal” pertama kali digunakan oleh penulis barat seperti Leonard Binder dan Charles Kurzman , masing-masing dalam buku mereka , Islamic Liberalism (1988) dan “Liberal Islam (1998). Kedua-dua istilah ini menunjukkan bahawa Islam mempunyai banyak tafsiran dan Islam Liberal atau Liberal Islam adalah salah satu aliran pemikirannnya. Beliau menegaskan bahawa Islam hanya satu dan istilah Islam liberal bukanlah dari mazhabnya. Ini kerana, mazhab-mazhab Islam yang lain (tidak disebut apa dan siapa di dalam buku) tetap merujuk kepada induk yang sama yakni Quran dan Hadith dalam memberi interpretasi mereka. Walhal Islam liberal pula ingin membebaskan manusia dari konsep Islam yang sudah mapan (established) kepada satu pemikiran baru dan merungkai kembali konsep Islam yang telah dipersetujui.

Dr Ugi membahaskan banyak perkara bermula dari masalah pengistilahan yang digunakan tokoh-tokoh liberal popular di Indonesia seperti Dr. Nurcholis Majid (Cak Nur) , Lutfie Assyaukanie, gerakan liberal di Indonesia seperti Jaringan Islam Liberal (JIL), sekularisasi dan sekularisme, Al-Quran edisi kritis (QEK) , pluralism agama, hermeneutika, dan feminism. Bagi beliau, perkara-perkara ini adalah asas dan rukun dalam faham liberalism. Walaubagaimanapun, di dalam bab terakhir buku tersebut, bertajuk “Peranan Tulisan Dalam Periwayatan Hadith” tidak saya bentangkan dan akan dihurai pada artikel yang lain. Saya akan berusaha seberdaya mungkin bagi merumuskan perbahasan beliau secara objektif.

Sekularisasi dan Sekularisme

Istilah sekularisme jika diterjemah ke dalam bahasa Arab disebut sebagai “ilmaniyyah” atau “almaniyyah”. Adapun “ilmaniyah” menunjukkan sifat kepada ilmu manakala “almaniyyah” berakar dari perkataan “al-`alam”. Al-Qardawi lebih cenderung menggunakan istilah yang kedua manakala Al-Attas lebih cenderung memakai istilah yang pertama. Kedua-dua mereka , walaubagaimanapun, beranggapan bahawa terjemahan sekularisme ke dalam bahasa Arab tidak mempunyai apa-apa asas. Al-attas sangat mementingkan penggunaan istilah yang betul dalam berbahasa dan konsep yang salah akan menyebabkan akibat yang buruk terhadap cara berfikir umat Islam.Ia berkait rapat dengan perkara-perkara seperti Tuhan, agama, nilai , dan pandangan hidup .Islam yang kita fahami, diturunkan oleh wahyu. Dan wahyu itu disampaikan melalui bahasa Arab. Hanya dengan menggunakan istilah Arab yang betul barulah kita boleh menjaga kesucian wahyu tersebut.
 Kedua-dua tokoh ini mengaitkan sekularisme dengan istilah “dunyawiyyah” (Al-Qardawi) dan “hayat dunya” (Al-Attas).Al-Attas membahas dengan lebih terperinci dengan mengaitkan sekularisme dengan falsafah positivism yang menganggap kesemua yang wujud di dunia ini hanyalah fakta material semata-mata dan tidak ada perkaitannya dengan rohani. Prinsip ini jelas bercanggah dengan prinsip Islam. Al-Qardawi juga mengatakan pemikiran secular bermula dari falsafah barat Yunani, Aristotle yang mengatakan Tuhan itu jauh dan tidak mempunyai hubungan dengan alam, tidak mengetahui sesuatu di dalam alam ini dan menguruskannya.
Al-Attas meneruskan pula dengan berpendapat, Kritian-Barat, dalam sejarahnya telah menjadi korban kepada Aristotelianism yang memisahkan kuasa gereja dan politik dalam apa yang dimaksudkan sebagai “desacralization of politic”.Beliau menyalahkan Kristian kerana telah menyebabkan orang Barat meragui agama wahyu dan menyebabkan Kristian sebagai agama wahyu tidak dipercayai.Al- Attas menyimpulkan saranan beliau terhadap sekularisasi melalui tiga komponen asas :1) Pemisahan material dari semua makna rohai , 2) penafian kekudusan politik, dan 3) penafian kesucian dan kesemua nilai hidup.

Pluralisme Agama

Dr Ugi berpendapat pluralism agama ialah pandangan yang menyamakan semua agama. Dr Anis Malik Toha, dipetik berkata tren pluralism itu ada empat aliran ; 1) Civil Religion, 2)Global Theology, 3) Transcendent Unity of Religion (TUR) dan 4) Syncretism. Kedua yang pertama bertitik tolak dari faham secularism manakala kedua yang terakhir adalah respons terhadap sekularisme.
TUR, menjadi topik utama yang dibahaskan lebih-lebih lagi ia mendapat sambutan di negara jiran di Indonesia. Ia merupakan fahaman yang membahagikan agama-agama di seluruh dunia (Islam, yahudi, krisitian, Buddha, hindu dan sebagainya) kepada dua iaitu Exoteric (luaran/zahir) dan Esoteric (Dalaman/Batin). Agama-agama ini hanya berbeza pada Exoteric-nya akan tetapi sama dari sudut Esoteric-nya. Ini berkait rapat dengan ‘Perennial Philosophy”, yang mempercayai bahawa agama-agama ini adalah banyak-banyak jalan yang menuju satu Tuhan.

Al-Quran Edisi Kritis

Di Indonesi, terdapatnya gerakan yang ingin mengedit semula Al-Quran yang sedia ada. Pada mereka Al-Quran, mushaf Uthmani yang kita ada hari ini telah melalui sejarah pembukuan oleh Saidina Uthman. Pada mereka, Saidina Uthman telah membakar mushaf-mushaf yang lain dengan kuasa politiknya sehingga hanya “Mushaf Uthmani” sahaja yang layak diedarkan kepada umat Islam. Dr Ugi mengatakan bahawa usaha-usaha seperti ini dahulunya merupakan misi-misi golongan Orientalis seperti G. Bergstrasser, Arthur Jeffery dan Otto Pretzl, namun selepas perang dunia ke -2 , bahan-bahan bukti yang mereka kumpulkan telah pun lebur dihentam bom peperangan. .

Hermeneutika

Jika Quran Edisi Kritis (QEK) ingin merombak semula Al-Quran, hermeneutika pula bertujuan merubah orientasi tafsir Quran yang selama ini menjadi tradisi umat Islam.  Hermeneutika merupakan metod penafisiran Bible. Ia melihat sebuah karya dari sudut 3 komponen , 1) teks, 2) pengarang dan 3) pembaca. Menurut Dr. Ugi Suharto, jika dihadapkan metod penafsiran ini terhadap Bible, maka diperakui oleh para ahli-ahli teologi Krisitna bahawasanya Bible bukanlah wahyu Tuhan. Ini berbeza apabila hermeneutika dihadapkan pula kepada Al-Quran.Al-Quran akan dipersoalkan dari sudut teksnya yakni benarkah ia kalamullah, apakah ia bercampur dengan kata-kata manusia, jika ya, bukankah bahasa itu sebahagian dari budaya dan sejarah manusia, dan apakah Tuhan berkata dalam bahasa Arab. Persoalan-persoalan seperti ini bertujuan merungkai kembali Quran supaya bersesuaian dengan konteks dan perkembangan masa.

 Ini kerana, menurut artikel yang diterbitkan dalam Jurnal Justisia, Fakulti Syariah, Institut Agama Islam Negeri (IAIN), Semarang, apabila kita mengkritik Al-Quran, kita mengkritik sejarahnya. Apakah ianya bebas nilai dan bebas konteks? Al-Quran yang diturunkan di Arab pada abad ke-14 itu adalah menurut konteks masyarakat ketika itu. Dan sepanjang proses pembukuannya, ia dipengaruhi dialek Quraisy , oleh Khalifah Uthman bin Affan dengan menyatakan hanya mushaf beliau sahaja yang benar dan membakar mushaf-mushaf yang lain.Hakikatnya, orang yang mensakralkan Quran lah yang terperangkap dengan konteks bangsa Quraisyh tersebut.

Feminisme
Isu hak sama rata antara lelaki dan perempuan ini merupakan asas dalam feminisime.Perbezaan hokum syara` antara lelaki dan perempuan dianggap tidak adil. Di Indonesia, antara perkara-perkara yang diperjuangkan oleh mereka ialah
1. Poligami tidak sah dan mesti dinyatakan batal secara undang-undang
2. Perkahwinan yang berbeza agama , termasuk antara muslimah dan bukan Islam mesti dikira sah.
3.Masa `iddah bukan hanya untuk wanita sahaja, tapi juga untuk lelaki iaitu 130 hari
4. Bahagian warisan anak lelaki dan wanita mestilah sama.
Di Malaysia, wujudnya Sister In Islam (SIS) yang didirikan oleh Amina Wadud yang pernah menggemparkan dunia dengan menjadi imam dan khatib solat jumaat.


Bahagian 2

Sepanjang melihat perbahasan oleh Dr Ugi Suharto ini, beberapa perkara yang membimbangkan pada saya, kelihatan suatu sikap berat sebelah, di mana elemen-elemen liberal yang beliau bahaskan itu dipukul rata kesemuanya dan menolak aspek-aspek sejarah dan kontekstual dalam lahirnya pemikiran tersebut. 

Sebagai contoh dalam isu sekularisasi dan sekularisme, beliau menuduh bahawa pemikiran seperti itu menyebabkan runtuhnya peranan gereja dan menatijahkan pemisahan kuasa politik kerajaan dan gereja. Benar ia berlaku, namun, beliau tidak meyentuh suatu apa pun tentang korupsi dan kebejatan dan kejahatan yang dilakukan oleh golongan gereja terhadap perkembangan ilmu-ilmu yang mencabar tradisi keilmuan gereja. Berapa ramai saintis-saintis zama kekuasaan gereja itu yang dibunuh kerana menemui pemenemuan yang bercanggahan dengan ilmu gereja.

Apakah ini tidak berlaku di dalam dunia Islam? Selepas zaman khulafa` ar-Rasyidin, begitu banyak sejarah yang membuktikan penyelewengan dan korupsi khalifah yang menyatukan kuasa agama dan politik seterusnya menghambat segala ideologi, mazhab dan aliran pemikiran yang berbeza dengan mereka. Pengalaman seperti inilah yang menyebabkan pemikir-pemikir ketika itu ingin mencari jalan keluar bagi membebaskan kuasa politk dari agama. Sekularisme tidak bermaksud untuk menhancurkan agama. Ia hanyalah supaya membahagikan apa yang menjadi kuasa politik dan apa yang dibawah kuasa agama. Agama melibatkan ruang peribadi dan politk melibatkan ruang awam.

Menyentuh isu pluralism agama pula, penulis bertegas mengatakan pluralism itu menyamakan kesemua agama . Sedang pluralism dan “religious plurality” itu berbeza. Pluralism yang berkait rapat dengan “perennial philosophy” itulah yang mengatakan agama itu merupakan banyak-banyak menuju Tuhan yang satu. Manakala “religious plurality” pula mengakui kebenaran agama masing-masing mengakui kewujudan agama lain. 

Dari segi hermeneutika pula, penulis tidak membahaskan apakah kesepakatan para ahli teologi Kristian yang mengatakan Bible itu bukan wahyu dan penulis juga memukul rata mengatakan seluruh umat Islam bersepakat bahawa Al-Quran yang kita guna sekarang ini adalah benar. Sedangkan, sehingga ke hari  ini, jarang umat Islam kita khususnya yang berani mencabar tradisi Quran mushaf Uthmani. Kita hanya memperturunkannya dari generasi ke generasi tanpa mempersoalkan kesahihannya. 

Secara peribadi, saya belum lagi sampai ke tahap ingin mengkaji kesahihannya, akan tetapi usaha kerarah mengkritik sejara pengumpulan Al-Quran itu perlu bagi mengimbangi dominasi mushaf itu dan juga tafsir ke-atasnya. Saya lebih cenderung untuk menggunakan metod penafsiran itu ke atas tafsir Al-Quran berbanding ke atas Quran itu sendiri. Namun begitu, usaha-usaha yang dibuat dalam kritik ke atas Al-Quran tidak wajar dipandang enteng.

Di akhirnya, saya tidak mahu menyentuh soal feminism dan peranan bahasa dalam periwayatan hadith dalam artikel ini dan insya Allah akan membentangkan perbahasan mengenainya dalam cebisan yang lain. Wallua`lam

Youssef Nada “Di Sebalik Ikhwan Muslimin” : Suatu Rumusan




"Apabila kita menyentuh kemanusiaan dalam diri manusia, ia akan bangun walaupun terpendam, walaupun mati.Apabila kita menyentuh kemanusiaan, ia bangkit."

Youssef Nada, 2012

Sejak Ikhwan Muslimin ditubuhkan pada tahun 1928, berbagai ujian dan cabaran yang terpaksa dilalui oleh organisasi ini untuk mengesahkan kewujudannnya lebih-lebih lagi di tanah air pengasasnya Imam Hassan Al-Banna, di Mesir. Asalnya, ia ditubuhkan bersama enam orang lagi pekerja Syarikat Terusan Suez berdasarkan prinsip Islam kemanusiaan. Disebalik kukuhnya pengaruh Ikhwan Muslimin (IM) di seluruh dunia yang kini ahlinya mencecah 100 juta, adanya seorang ‘negarawan’ atau ‘menteri luar’ IM, Youssef Nada yang begitu hebat sebagai juru runding dalam banyak perkara yang melibatkan kepentingan umat Islam. 

Youssef Nada sejak kecil lagi sudah mempunyai minat dan semangat dalam isu-isu ketidakadilan . Seawal usia 12 tahun, beliau sudah mula mengunjungi mahkamah dan kagum dengan proses penghujahan dan debat yang berlaku di dalamnya termasuklah ketidakadilan yang terpalit bersamanya. Begitulah dunia perundangan menyusup ke dalam peribadinya yang mengajar beliau supaya sentiasa teliti dalam apa-apa perkara dan membuat sesuatu di atas landasan undang-undang.
Di zaman pemerintahan Gamal Abdul Nasser yang merupakan seorang ahli Ikhwan yang membelot selepas revolusi 1952 menentang Raja Farouk, Nada dihantar ke penjara tentera semasa berusia 23 tahun. Beliau menyaksikan pelbagai penderitaan yang dirasai ahli-ahli Ikhwan yang dipenjara dan diseksa oleh tentera-tentera Mesir dalam sel-sel tahanan Penjara Tentera Abbasia itu. Antaranya ,seorang tokoh ulama terkenal ketika itu, Muhammad Al-Qaraxi yang begitu banyak memberi pengajaran kepada beliau tentang menghadapi kezaliman dengan rendah diri dan menghadapi kekuatan dengan kebijaksanaan.

Disebabkan Nada mempunyai keluarga yang berpengaruh yakni ibu bapanya , Mustafa Ali Nada dan Nemat Abu Saud, beliau bernasib baik terselamat dari mati di dalam kem tahanan. Bapanya mempunyai sebuah ladang dan kilang hasil tenusu dan ibunya yang begitu terkenal dengan kebaikan dan keramahannya sehingga dihormati masyarakat sekelilingnya termasuklah sebahagian pegawai-pegawai tentera yang bertanggungjawab ke atas penahanan Nada.

Semasa belajar di universiti, Nada sudah mengusahakan sebuah perniagaan produk tenusu dengan kaitan rapat sebuah pejabat eksport. Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1959, beliau mengembangkan lagi perniagaan dengan membekalkan susu Pasteur kepada syarikat Swiss di Mesir selain menjadi satu pertiga sumber minuman susu di kawasan tempat tinggalnya. Kerana terus-terusan ditekan di bawah “Negara polis” Mesir, beliau bertekad berhijrah ke luar negara pada tahun 1960 dan menjadi usahawan antarabangsa yang berjaya dengan menubuhkan pejabat di Vienna, Tripoli , Riyadh, Glasgow dan Liechtenstein. 

Jaringan Diplomatik
Kejayaan perniagaan beliau dalam bidang pembinaan selain khimat penghantaran komoditi-komiditi seperti carousel, jagung,minyak, barli dan gandum yang merentasi Timur Tengah, Afrika, sehingga benua Eropah, memberikan peluang besar dengan meritnya membina jaringan dengan ahli-ahli politik terkemuka selain rakan niaganya. Antaranya ialah Presiden Tunisia ketika itu, Habib Bourghiba, Raja Idris di Libya sebelum digulingkan Gaddafi, yang membolehkan beliau dianugerahkan kerakyatan penuh Tunisia dan disokong kuat di Libya dengan perniagaannya yang berkembang pesat dengan 36 kapal di laut yang mengangkut minyak ,besi , simen, barli dan gandum yang menyumbang besar terhadap ekonomi Libya. 

Selepas Raja Idris digulingkan, nama beliau tersenarai sebagai orang yang dikehendaki Gaddafi dan sempat melarikan diri ke Vienna bersama-sama peguamnya , Ghaleb Himmat yang kemudian menjadi orang kanan yang paling beliau percayai sepanjang urusan perniagaan dan politiknya. Selepas kematian Nasser, Anwar Sadat mengambil alih kuasa dan memanggil semula ahli-ahli Ikhwan kembali ke Mesir dan membebaskan ramai dari penjara. Namun , itu tidak menukar fikiran Nada untuk kembali ke Mesir kerana pengalaman buruknya malah pada tahun 1977, beliau menetap di Campione D`Italia, sebuah kawasan pergunungan yang indah mengadap Tasik Lugano.

Beliau mempunyai pengaruh di Arab Saudi melalui Putera Mohammed Al-Faisal, anak kepada Raja Faisal yang dibunuh dan bekerjasama menubuhkan sebuah bank. Islam di Mesir. Walaupun Sadat berjanji untuk tidak memberi apa-apa masalah untuk ahli-ahli Ikhwan untuk pulang, Nada tetap tidak mempercayainya kerana beberapa insiden yang berlaku ketika mesyuarat ahli lembaga pengarah di Mesir. Akhirnya, beliau meletak jawatan dan bertekad untuk tidak kembali lagi. 

Tahun 1979. Revolusi Iran yang sering dilabel sebagai Revolusi Islam menggemparkan dunia dengan ketokohan Ayatollah Sayyid Ruhollah Khomenei yang berjaya menumbangkan  Shah Iran, Muhammad Reza Shah Pahlavi yang menandakan berakhirnya sistem monarki yang sudah berterusan selama 2,500 tahun sebelumnya. Nada , mewakili Ikhwan mengatur perjumpaan mengucapkan tahniah kepada Ayatollah atas kemenangan tersebut setelah berterusan memantau perjalanan politik Iran sebelumnya. Hubungan politk Iran-Amerika menjadi berantakan selepas sekumpulan pelajar-pelajar radikal Iran merampas kompleks kedutaan Amerika di Iran dan menahan beberapa pegawainya sebagai tebusan. 

Ini menyebabkan Amerika menghubungi Ikhwan sebagai organisasi Islam bagi meminta pertolongan melalui pemimpin tertinggi Ikhwan ketika itu Omar Al-Telmesamy (1972-1986), untuk berunding dengan Iran. Nada dihantar bagi menjalankan misi tersebut. Pimpinan Amerika , di bawah Presiden Jimmy Carter, walaubagaimanapun tidak meneruskan rundingan malah melancarkan Operasi Eagle Claw bagi menyelamatkan tebusan tetapi gagal dengan teruknya selepas terkandas di padang pasir.
Namun, pada tahun 1980,baru setahun selepas Revolusi Iran, dan ‘mood’ anti-Amerika, Saddam Hussein pula melancarkan perang terhadap Iran. Peristiwa ini mendorong kerajaan Iran berunding dengan Amerika dan pada tahun yang sama , Presiden Amerika yang baru, Ronald Reagan dilantik menggantikan Jimmy Carter dan tebusan Amerika dibenarkan dibawa keluar dari Iran dan asset USD8 billion Iran yang dibekukan di Amerika dilepaskan.

Ikhwan ketika ini tersepit di tengah-tengah. Perang tersebut retoriknya simbol kemuncak yang memecahbelahkan lagi perpecahan Sunni dan Syiah. Disebabkan hubungan diplomatic yang dibina Ikhwan, ramai tertanya-tanya posisi Ikhwan sama ada agen Arab Saudi, negara-negara Teluk, Iraq, Amerika, UAE, Mesir atau Iran atau kepentingan sendiri yang tersembunyi? 

Disinilah Nada, sebagai Menteri Luar  Ikhwan memainkan peranan yang sangat penting bagi mengawal hubungan diplomatic dengan semua negara Islam dan juga kuasa besar bagi menguntungkan umat Islam. Arab Saudi mengharamkan apa-apa sahaja yang bersangkutan dengan Iran. Sekatan ekonomi yang dikenakan keatas Iran pula menyebabkan Iran kekurangan makanan dan keperluan lain dan ini menyebabkan Menteri Perdagangan Iran, Reza Sadr, meminta bantuan Nada. Nada mengangkut 100 ribu tan besi dan 450 ribu tan gandum ke Iran dan kerugian sebanyak USD5 juta usai proses itu dijalankan.

Konflik Sunni-Syiah juga merebak di dalam Iran. Pergeseran, puak minority Sunni Kurdish Iran dengan pengawal revolusi semakin menjadi-jadi dan akhirnya , ketuanya Ahmad Moftizadeh dibunuh dan Presiden Iran, Abolhasan Banisdar pula lari ke Perancis selepas berselisih dengan Ayatollah Khomenei. Konflik sectarian ini sangat berguna untuk dimanipulasi Barat bagi memecahkan kesatuan Arab. Perdana Menteri Britsih , Campbell Bannerman pernah berkata :

“Di Timur Tengah, mereka mempunyai agama yang sama,bahasa yang sama, perasaan yang sama. Maka kita perlu memecahkan mereka”
Ini sangat jelas pada tahun 1950-an, ketika Nasser melancarkan nasionalisme Arab bagi menentang pengaruh Amerika, Amerika menggunakan Shah Iran bagi menentang Nassser. Tidak cukup dengan itu, Amerika meyakinkan Arab Saudi, melalui Raja Faisal dan kemudian Raja Fahd untuk bersama-sama Shah menentang Nasser.

Namun selepas Nasionalisme Arab gagal selepas kalahnya perang Arab-Israel 1967, Nasser menjadi lemah dan meminta pertolongan Raja Faisal dari Arab Saudi. Arab Saudi pula bersetuju membiayai Mesir dan ketenteraannya bagi membina kembali kekuatan. Tak lama selepas itu, Nasser meninggal dunia dan digantikan oleh Anwar Sadat.

Selepas Sadat menandatangi perjanjian damai dengan Perdana Menteri Israel, Menachim Begin, pada tahun 1979, selepas Perjanjian Camp David setahun yang awal, beliau dituduh mengkhianati dunia Arab dan mereka memindahkan Liga Arab dari Kaherah ke Tunisia. Kini, tibalah giliran Saddam Hussein sebagai hero dunia Arab.

Aneh dan ironis bukan? Kegilaan konflik yang carca marba ini tak berhenti disini.

Orang Arab dan Amerika pula membantu Saddam Hussein menentang Iran! Sedangkan Saddam menghentam pemimpin-pemimpin dunia Arab kerana mengkhianati Arab di dada akhbar, televisyen dan radio. Akan tetapi, pemimpin zalin dan dictator Saddam dibantu atas nama pemimpin Sunni bagi menentang pengaruh Syiah. Begitulah Amerika dan kepentingannya. Amerika sepanjang misi imperialnya begitu taktikal dan bijak menggunakan pemimpin-pemimpin dictator dan monarki dan isu-isu sektarian bagi menjaga kepentingan beliau di Timur Tengah. 

Banyak juga contoh lain di luar Timur Tengah. Noriega, pemerintah kejam di Panama merupakan sekutu kuat Amerika. Namun selepas Amerika tidak lagi menyokongnnya, beliau dicampak ke penjara. Perkara yang sama juga berlaku kepada Mobutu di Congo yang  juga adalah sekutu kuat Amerika di Afrika. Ferdinand Marcos, di Asia Tenggara juga menghadapi nasib yang serupa begitu juga Shah Iran dan kemudian giliran Saddam menjadi buah catur Amerika bagi mengawal kebangkitan Revolusi Iran.

***************************************************************************

Pengaruh Nada hampir ada pada setiap pemimpin Islam di seluruh dunia. Selain di Timur Tengah, beliau juga pernah mengadakan rundingan dengan Gulbuddin Hekmatyar, orang paling penting di Aghanistan yang mengetuai Hezbul Islami yang memerangi Soviet. Misi beliau semasa berkhidmat dengan Ikhwan ialah menghentikan keganasan. Beliau percaya itulah sebab Ikhwan wujud. Untuk menghentikan keganasan sesama muslim dan bersatu.

Bagi beliau perang saudara Sunni-Syiah, nasionalisme Arab, sifat kepuakan merupakan perang palsu yang merosakkan dunia Islam. Amerika sentiasa mahukan perkara itu berlaku agar mereka mendapat keuntungan sebanyak-banyaknya. Tapi, kita sering terperangkap dengan konflik yang tidak berkesudahan ini. Nada menyangkal dakwaan bahawa Ikhwan mahu mewujudkan sistem Khilafah dengan mengangkat seorang khalifah sebagai ketua negara. Beliau malah percaya dengan sistem demokrasi yang tidak bercanggah dengan Islam. Ia adalah sistem terbaik untuk membahagi dan memisahkan kuasa bagi mencapai keadilan dengan segala kekurangan dan kelemahannya untuk diperbaiki.

Pada tahun 2010, unggun api revolusi Arab dinyalakan semula oleh Mohamed Bouazizi yang membakar dirinya gara-gara kemiskinan melampau yang dihadapinya di Tunisia. Satu persatu diktator dunia Arab ditumbangkan oleh rakyat. Di Mesir, Hosni Mubarak terpaksa meletakkan jawatan selepas 30 tahun pemerintahannya atas desakan rakyat.Ikhwan Muslimin pula melalui Freedom and Justice Party (FJP) memenangi hampir 47 peratus daripada keseluruhan parlimen diikuti Parti An-Nour sebanyak 25 peratus berbanding golongan minority parti-parti liberal yang menduduki tempat ketiga.

Namun Youssef Nada sepanjang hayatnya,masih bimbang yang FJP tidak menyediakan siapa-siapa yang mampu menerajui negara apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang kering kontang dari segi luaran dan dalaman. Ikhwan tidak boleh memerintah secara total tapi perlulah mewujudkan pemerintahan campuran. Beliau malah tidak bersetuju Ikhwan menghantar calonnya bagi bertanding jawatan Presiden namun, mahu tidak mahu keputusan dibuat dan akhirnya Morsi menang pilihanraya tersebut.

Ujian terhadap Youssef nada tidak berhenti disitu. Beliau dituduh secara peribadi oleh  Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush sebagai penyumbang kepada dana bagi keganasan melalui bank beliau , Bank At-Taqwa. Beliau dituduh tanpa sebarang bukti dan beliau di tahan di rumah beliau di Swiss sejak tahun 2001 dan sehingga tahun 2001. Aset beliau dibekukan dan walaupun nama beliau telah dikeluarkan dari pada PBB, sehingga 2012, nama beliau masih disenaraikan dalam senarai Amerika.

Kesimpulan

Buku biografi tentang Youssef Nada ini sarat dengan pelbagai rundingan dan ujian yang dihadapi oleh Nada mahupun sebagai ahli perniagaan dan juga Menteri Luar Ikhwan yang berperanan penting dalam menjayakan berbagai-bagai misi keamanan bagi menghalang keganasan. Amat sukar untuk membuat rumusan, kerana tidak ada suatu maklumat pun yang tidak penting yang boleh kita ketepikan. Segala macam isi rundingan, konflik yang ditangani, malah fahaman-fahaman Nada tentang demokrasi, sekularisme, kebangkitan Islam, perang saudara Sunni-Syiah, kegilaan Al-Qaeda, keganasan puak-puak ekstremise,fahaman Islam yang sempit dan bermacam lagi peristiwa konflik dunia Islam yang wajar kita perhatikan.Walaubagaimanapun, rumusan ini saya kira, mengambil sebahagian kecil peristiwa-peristiwa rundingan yang dilakukan oleh beliau dan kekalutan konflik dunia Islam di Timur Tengah. Banyak lagi bab-bab yang perlu dihurai secara lanjut dan dibahaskan oleh siapa-siapa yang sudah membaca buku ini. Akhir kata, marilah kita merenung kata-kata Vladimir Lenin ini ,

“Jikalau kita tidak membuktikan hubungan antara perang dengan politiknya sebelum itu, maka kita tidak akan memahami apa-apa dalam peperangan ini”

Mudah-mudahan pembaca mendapat manfaat dan membuat bacaan tambahan dan mengesahkan segala yang diterangkan dalam rumusan ini. Sekian.

Pendidikan dan Peradaban Manusia


Dari segi etymology, pendidikan atau “education” berasal dari dua perkataan Latin educare ( educere) dan educatum yang bermaksud “to lead” dan “the act of teaching” .Perkataan pertama secara tidak langsung menunjukkan bahawa dalam perkembangan pendidikan kanak-kanak, mereka telah ada kemampuan akal yang mandiri diperingkat awal makanya pendidikan seharusnya bercorak “leading” atau membimbing, bukan memaksakan pengetahuan ke atas mereka. Perkataan kedua lebih kepada prinsip dan cara mengajar.

John Dewey (1916) dalam makalahnya “Democracy and Education”, menyebut pendidikan ialah jalan atau alat untuk “ meneruskan kehidupan sosial”. Dewey menegaskan bahawa kelahiran dan kematian yang berlaku kepada ahli-ahli sosial /atau individu-individu yang membentuk masyarakat menyebabkan pendidikan itu suatu keperluan untuk meneruskan kehidupan sesebuah masyarakat tanpa terkesan dengan natijah biologi individual yang tidak dapat dielakkan.
Beliau berpendapat, setiap individu di dalam persekitaran sosial menjana pengetahuan dengan refleksi dan bertindak atas tiap-tiap masalah dan cabaran yg dilalui.Lantas, ilmu pengetahuan itu diperoleh secara aktif melalui proses beirnteraksi dengan alam dan persekitaran yang sentiasa berubah.

Justeru, keperluan dan isu-isu terhadap pendidikan itu sentiasa berubah mengikut konteks tertentu melibatkan waktu , tempat, demografik, factor-faktor politk, kepelbagaian bangsa , agama dan sebagainya.
Pendidikan merupakan sesuatu yang bersifat integral di dalam kehidupan masyarakat kerana diatas bentuk dan corak pendidikan lah corak pemikiran dan tindakan masyarakat dibentuk.
Sebagaimana manusia secara individu berevolusi, dari bermula seorang bayi , melalui proses kanak-kanak, seterusnya menjalani perkembangan seorang remaja dan akhirnya menjadi dewasa dan tua, begitu jualah perkembangan masyarakat dalam mencorak sosial kontraknya, politk dan ekonomi , budaya dan agama dan seterusnya membina peradaban.

Pendidikan suatu proses interaksi dengan alam

Pendidikan hendaklah difahami sebagai proses, bukannya suatu subjek (disiplin) ataupun tahap pencapaian (degree, master, PHD). Jika kita lihat “Emile” karya Rousseau (1762) , ia menceritakan bagaimana Emile, seorang kanak-kanak lelaki yang dibawa keluarganya jauh ke luar bandar di mana dia dididik dengan belajar memahami kesan tindakannya dengan hukum alam (contoh : jika dia pecahkan tingkap, dia akan kesejukan ; jika dia mengambil harta pekebun, pekebun itu tidak melayan permintaannya kemudian ). Dalam proses pembelajaran itu, Emile belajar mengharmonikan tindakannya dengan kecenderungan hukum alam terhadapnya.

Karya penceritaan manusia , khususnya kanak-kanak dalam berinteraksi dengan alam dalam proses pembelajaran tidak lekang dalam khazanah keilmuan Islam. Dalam “Fifty Major Thinkers of Education- From Confucius to Dewey” , Palmer et.al (2013) antara lainnya, memcungkil magnum opus Ibnu Tufayl ; Hayy Ibnu Yaqzan ( The Living One, Son of the Vigilant) yang banyak diterjemahkan ke dalam Hebrew dan kebanyakan bahasa Eropah, terutama Latin, di mana karyanya dibaca oleh ahli falsafah Jerman terkenal, Gottfried Von Leibnitz, yang banyak mempengaruhi falsafah Immanuel Kant. Karya agung Ibnu Tufayl ini juga dikatakan mempengaruhi tema penulisan “Wilhelm Meister” karangan Goethe yg mirip konsep yang dibawa Tufayl yakni pendidikan sebagai “sekolah kehidupan” dan membawa watak anak muda dalam merungkai falsafah dan pengajaran moral yang didapati selepas melalui konsep kehidupan ini. (Schembri, 1997) .

Ibnu Tufayl cuba menjawab persoalan apakah manusia yang hidup dengan “keadaan azali” alam tanpa bantuan wahyu dan tradisi boleh memahami dan mendapat pengetahuan tentang alam dan moraliti dan akhirnya menjumpai Tuhan.

Dalam pengkisahan yang dibawa beliau, Hayy dibesarkan oleh seekor rusa yang mana akhirnya dibedah oleh Hayy sendiri membuatkan Hayy menyaksikan sendiri melalui kuasa pemerhatian dan refleksi (tadabbur) , kematian itu wujud apabila terpisahnya roh dari jasad.

Tufayl mencadangkan di dalam novel tersebut, ada kemungkinan, tanpa Tuhan menurunkan nabi pun untuk memberitahu tentang kewujudan diri-Nya, ahli-ahli falsafah,saintis-saintis, sufi-sufi pasti akan menjumpai Tuhan dengan mengkaji tentang alam , hakikat penciptaan diri dan semesta kerana beliau percaya Tuhan adalah entiti penyatuan semesta. Dengan mengkaji alam ciptaannya, manusia tidak ada masalah untuk mencapai satu konklusi pasti bahawa adanya Sang Pencipta , yang dengan cinta dan kebijaksanan-Nya, menjadikan alam semesta sebagai tanda bukti adanya Dia.

Pendidikan menjadi asas peradaban

Dari sudut sosiologi, Kendal et al. (2008) mengatakan, sejak kewujudan manusia, dalam apa cara sekalipun proses transisi tradisi, rangka-rangka nilai, skil-skil kehidupan pasti berlaku terhadap generasi seterusnya.

Proses yang dinamakan sosialisasi ini bukan sahaja terbentuk pada zaman tersebut malah budaya dan tradisi yang terbentuk di zaman itu akan diteruskan dan dibawa oleh generasi seterusnya. Pada tahun 1873, antara yg dibentangkan oleh William Nicholas Hailmann (1836-1920) , seorang tokoh pendidik zaman gerakan pendidikan di awal era 20-an berketurunan German-Swiss, di hadapan Cincinnati Teacher`s Asociation dalam tulisan nya, Twelve Lectures on the history of pedagogy(1874) ialah sejarah pendidikan merupakan sejarah perkembangan perabadan manusia.

Peri pentingnya pendidikan ini ia bukan sahaja bersifat formal dan institusi semata-mata malah sepanjang sejarah peradaban manusia, perkembangan pendidikan beralih kepada generasi seterusnya sejak zaman berzaman walau sebelum penggunaan tulisan lagi di era pra-sejarah.

Manusia memperturunkan tradisi-tradisi dan skil-skil kehidupan dari nenek moyang mereka melalui demonstrasi dan meniru golongan-golongan tua selain bacaan-bacaan puisi, lagenda, dan tidak kurang juga melalui ritual-ritual keagamaan tertentu.

Omar Nakib (2006) di dalam “Malik Bennabi’s Approach to Educational Problems In The Muslims World” menunjukkan dengan lebih jelas bahawa dalam Islam, pendidikan itu bersifat holistic dan tidak terpisah dengan misi sosial manusia yang telah termaktub di dalam Al-Quran yakni untuk membina sebuah peradaban.

Justeru, pendidikan adalah pra-syarat sebelum tercapainya tamadun manusia yang cemerlang. Mengikut formula mudah beliau, Manusia (Insan) + Tanah (Turab) + Waktu (waqt) = Peradaban (Hadharah). Bennabi sangat berhati-hati dalam penggunaan terminology, seperti memilih tanah (turab) daripada “substance” atau “matter” (madda). Ini kerana dalam rangka etika ia menyalahi roh, dalam sains ia bertentangan dengan “energy/tenaga” dan dalam falsafah ia bersifat kontra-idealism.(Fawzia Bariun,1993)

Dr. Fawzia Bariun menyatakan perkataan “tanah” dalam pandangan Islam boleh bermaksud bumi , dunia, atau alam semesta yang Allah ciptakan dan dipertanggunjawabkan untuk diterokai, digunakan dan dibangunkan oleh manusia sebagai khalifah dalam keterbatasan hayatnya di dunia .

Dalam “On the Origins of Human Society” , Bennabi (1998) menegaskan di antara ketiga-tiga elemen di atas, Manusia, adalah elemen terpenting. Manusia bertindak sebagai pembina tamadun dan dalam masa yang sama menjadi hasil dari tamadun yang dibina. Ini bermakna, cabaran terbesar umat Islam ialah menghasilkan manusia yang mampu menggunakan tanahdan dalam jangka hayat nya untuk mencapai sesuatu destinasi dalam peradaban.

Ini memberi indikator kepada kita bahawasanya, kegagalan mendepani isu pendidikan dan perkembangannya akan menyebabkan kegagalan kepada proses perkembangan masyarakat bertamadun yang benar-benar bebas dan progressif minda dan daya fikirnya kerana pendidikan bukan hanya seputar persekitaran kelas-kelas mahupun institusi-institusi formal seperti sekolah dan universiti malah pentingnya pedagogi-pedagogi pembelajaran dibincangkan seawal proses kanak-kanak ini belajar mengenal dunia di rumah melalui ibu bapa mereka.

Tanpa kesedaran yang jitu terhadap kualiti pendidikan,terutama dalam pembentukan idea dan peranan agama sebagai perangsang, peradaban yang terhasil bukan lah sebuah peradaban yang ideal.
Jika pun ada, ia hanyalah bersifat, “tamadun material” (hadara shahiyya) yang membina ketamadunan hanya melalui kekayaan ekonomi dan kekuatan politik dan sosial berpanjikan pengumpulan material sedangkan sepatutnya, segala yang bersikap material(institusi, undang-undang, sistem politk) adalah refleksi kepada idea (manusia,tanah dan masa) dalam membina tamadun dengan agama sebagai rangsangan lengkap yang mengangkat martabat manusia di proses tersebut.

Kesimpulan

Di dalam konteks masyarakat moden, konsep pendidikan telah berkembang dari hanya bersifat proses informal untuk kelangsungan hidup kepada bersifat institusi (sekolah, kolej, university) yang akhirnya tidak melahirkan manusia yang “belajar” dan “terdidik” kerana pendidikan tidak lagi dipahami sebagai proses interaksi dengan alam dan asas peradaban, tetapi hanyalah memenuhi keperluan ekonomi dalam masyarakat pasca-industrial.
Justeru, anak-anak, pelajar dan mahasiswa dalam putaran sistem ini dan konteks idea yang tersasar, sama ada hanya akan menjadi “produk” berkualiti yang menjadi rebutan di pasaran ataupun “reject item” yang akhirnya dibakulsampahkan di jalanan-jalanan dengan “false-conciousness” (dipinjam dari Marx) bahawa dengan tiada nya pendidikan ( tahap akademik formal; degree,master, PHD) selayaknya tempat mereka disitu sedangkan pendidikan sewajarnya dipahami dalam konteks yang lebih luas , yang membentuk peradaban hasil interaksi dengan alam dan masalah-masalah yang diselesaikan hasil proses pendidikan yang betul dijana peranan agama yang mengangkat spiritual manusia dalam mendepani kemanusiaan bukan “in the presence of humanity “ akan tetapi “in the presence of God”.

(Artikel ini tersiar di Projek Dialog, July 24, 2013)

Islam Sebagai Gerakan Pembebasan






Agama sering dilihat sebagai nadi dalam kehidupan masyarakat sejak zaman berzaman dalam meneruskan proses kelangsungan hidup. Dari dahulu lagi, masyarakat primitif memuja-muja semangat pokok, batu, kayu, menyembah matahari , bagi “melindungi” populasi mereka dari pelbagai bencana alam yang mengancam kehidupan mereka.

Tidak kurang juga yang menyembah semangat padi bagi meningkatkan hasil-hasil tanaman mereka. Di zaman pasca-industrial ini, di mana strata sosialnya semakin jelas kelihatan, dengan peratusan kecil populasi elit yang semakin kaya dan giat mengumpulkan kekayaannya, tertinggal sejumlah besar golongan kelas menengah dan miskin yang bergasak dan bekerja hari demi hari bagi mencari sesuap nasi demi meneruskan hidup.

 Justeru,fokus terhadap agama (dalam konteks artikel ini, Islam) menjadi kurang kerana keperluan hidup yang semakin mendesak berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan agama tidak mempunyai ruang untuk difikirkan dan dihayati maknanya.

Penghayatan sempit

 Kalaupun ada, masa-masa terluang yang berbaki hanya diisi dengan solat berjemaah di masjid, zikir-zikir harian, bacaan Quran dan segala macam ritual yang berkaitan dengan spiritual. Kuliah-kuliah agama, motivasi-motivasi pula selalunya berbentuk bagaimana mengurus masa, menjadi muslim professional, menjadi ibu bapa yang baik, menjadi insan yang sabar dan bersyukur, dan segala macam kursus-kursus dan forum mengenai membentuk akhlak insani yang syumul.

 Bagi remaja pula, forum-forum cinta Islamik pula menjadi tarikan dimana-mana dengan memberikan ceritera-ceritera kemanisan bercinta masa belajar, diselitkan adegan-adegan manja para agamawan-agamawan populis yang menceritakan pengalaman berkahwinnya semasa berlajar.

 Yang menghairankan,begitu kurangnya kuliah-kuliah agama, forum-forum yang berbentuk menentang penindasan dan kezaliman: keadaan sosio-ekonomi yang membimbangkan, kebanjiran orang-orang tidak berumah, rakyat-rakyat miskin di jalanan, kebejatan sosial yang semakin parah hasil pembahagian ekonomi yang tidak sekata dan segala macam sisi gelap kapitalis-kapitalis besar yang mengaut keuntungan besar dengan meminggirkan sebahagian besar masyarakat majoriti yang terdesak.

 Saya bertanya kepada diri sendiri, apakah Islam itu agama yang mengajar perkara yang indah-indah seperti pahala, beramal soleh, mendapatkan syurga, bidadari, cinta Islamik yang membahagiakan sahaja?

 Ataupun Islam hanya agama yang mengajar tentang ancaman-ancaman neraka, siapa yang termasuk golongan kafir, meredah kelab-kelab malam, menerjah penzina-penzina di dalam hotel-hotel semata?

 Ataupun Islam hanya agama yang mengajar motivasi-motivasi bagaimana menjadi muslim berakhlak mulia, menjadi anak soleh, menjadi ibu bapa contoh, menjadi usahawan cemerlang, menjadi qari-qariah dan membuat lebih banyak pertandingan-pertandingan tilawah, tahfiz Quran semata?

Islam dan pembebasan

Ashgar Ali (1990) dalam bukunya “Islam dan Teologi Pembebasan” membahaskan banyak perkara-perkara penting yang seharusnya menjadi rujukan dan pelajaran bagi mengubah persepsi kita terhadap bagaimana agama Islam seharusnya dianggap dan difikirkan. Beliau berpendapat, Islam seharusnya bersifat membebaskan manusia dari kezaliman dan penindasan, membela dan melindungi golongan- golongan “mustadh`afin” (yang lemah) dan menentang golongan-golongan “mustakbirin” (yang kuat dan sombong) .

 Islam seharusnya membawa keadilan Tuhan kepada masyarakat dan membebaskan mereka dari keadaan hidup yang tertindas. Terlalu banyak ayat-ayat Al-Quran yang mengajak manusia menegakkan keadilan dalam masyarakat antaranya Surah An-Nisa , 4 :75 yang bermaksud

" Dan mengapa kamu tidak berjuang di jalan Allah dan membela orang yang tertindas, laki- laki dan perempuan dan anak-anak yang berkata. `Tuhan kami! Keluarkan kami dari kota ini yang penduduknya berbuat zalim. Berilah kami perlindungan dan pertolongan dariMu!” 

Allah juga berfirman :

“Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang berbuat adil” (5:8) dan juga Surah Al-A`raf (7: 29) “Katakanlah: Tuhanku memerintahkan supaya kamu berbuat adil” 

Ashgar juga memetik pendapat Nawab Haider Naqvi (1981), pakar ekonomi Pakistan di dalam bukunya “Ethics and Economics- An Islamic Synthesis” yang mengatakan bahawa “….keadilan sosial dalam Islam berakar pada tauhid. Sebenarnya, keyakinan kepada Tuhan itu secara otomatis mempunyai konsekuensi untuk menciptakan keadilan. Salah satu tidak akan ada tanpa yang satunya….”.

Jika dilihat pada penurunan Rasul-Rasul ke muka bumi bertujuan membuat satu gerakan mencabar status quo yang menindas dan menzalimi rakyatnya. Nabi Musa A.S diturunkan membantu kaum Israel yang tertindas melawan regim zalim Firaun. Nabi Isa A.S diturunkan bagi membantu yahudi menentang regim zalim Rom dan Nabi Muhammad (SAW) juga membina gerakan menentang pembesar-pembesar Quraiysh yang sombong dan menindas fakir miskin dan mengumpulkan kekayaan berlipat ganda .

Di dalam buku “Speeches that Changed the World “, diterbitkan pada tahun 2005, menghimpunkan lebih 50 ucapan-ucapan penting dari orang ternama dan revolusiner yang memberi impak dan mencorakkan peristiwa-peristiwa agung dunia. Tidak hairan lagi, 3 tokoh pertama yang dimuatkan ialah ucapan dari Nabi Musa, Isa dan Muhammad yang ketiga-tiganya mempunyai asas perjuangan yang sama, yakni membebaskan manusia dari dizalimi dan menjadi hamba kepada manusia lain kepada hanya menjadi hamba kepada Tuhan yang satu dan berpegang hanya kepada kedaulatanNya

Raif Khoury (1979), seorang Marxist dari Lebanon , di dalam bukunya “Marxisme and the Muslim World” menyatakan makna penting disebalik laungan takbir yang sering kita dengari tapi tidak dihayati dalam erti kata yang sebenar. Beliau menyebut :

 “ Betapa sering kita mendengar suara adzan dari menara di kota-kota Arab yang abadi ini.Allahuakbar! Allahuakbar! Betapa sering kita membaca atau mendengar Bilal, seorang keturunan Abyssinian, mengumandangkan adzan untuk pertama kalinya sehingga menggema di jazirah Arab….Namun apakah kalian sudah merenungkan apa yang dimaksud dan apa isi dari panggilan itu? Apakah setiap mendengarkan panggilan suci itu , kamu ingat bahawa Allahu Akbar bermakna (dalam bahasa yang tegas): berilah saksi kepada para lintah darat yang tamak itu! Tariklah pajak dari mereka yang menumpuk-numpuk kekayaan! Sitalah kekayaan para tukang monopoli yang mendapatkan kekayaan dengan cara mencuri! Sediakan lah makanan untuk rakyak banyak! Bukalah pintu pendidikan lebar-lebar dan majukan kaum wanita! Hancurkan cecunguk-cecunguk yang membodohkan dan memecah-belahkan umat! Carilah ilmu sampai ke negeri Cina (bukan hanya cina zaman dahulu, namun juga sekarang). Berikan kebebasan, bentuklah majlis syura yang mandiri dan biarkan demokrasi yang sebenar-benarnya bersinar!” 

Matlamat Asas Islam

Begitu jelas dan tegas pernyataan ini yang saya kira wajar kita ambil sebenar-benar perhatian setiap kali azan dilaungkan. Islam agama yang memecahkan strata sosial yang menindas. Islam agama yang memberi ruang pendidikan yang mencukupi.

 Islam agama yang menjanjikan keadilan sejagat yang buta kaum, warna kulit ,status mahupun agama lain. Islam bukan sekadar agama rohani berbentuk ritual-ritual keagamaan semata, malah suatu gerakan yang mencabar status quo yang zalim dan memacakkan keadilan Tuhan melalui pesan-pesan dan firmannya, bukan sekadar mengambil dan memetik Quran dan Hadith bagi meredakan kesakitan dan keperitan masyarat tertindas seperti candu yang menjadikan mereka pasif terhadap kezaliman.

Islam seharusnya menjadi agama yang berupaya menjadi senjata melawan regim autokratik, agamawan-agamawan pro-status quo seperti yang ditunjukkan oleh sosok Islam terkemuka sepanjang sejarah Islam, Abu Zar Al-Ghiffari, seorang sahabat nabi yang revolusioner sehingga digeruni oleh pemerintah-pemerintah despotik dan kaum ulama-ulama yang pro-regim.

Salah satu bab di dalam buku “Dari Kanan Islam hingga Kiri Islam”, iaitu “Antara Marxisme, Islam dan Syiah Revolusioner”, penulis mengutip petikan dari karya Ali Shariati, Intizar yang menyebutkan

 “Islam has two separate Islams. The first can be considered a revolutionary ideology. By this I mean beliefs, ciritical programmes and aspiration whose goal is human development. This is true religion. The second can be considered `scholastic Islam`. By this I mean philosophy, oratory, legal training and scriptural learnings.Islam in the first sense belongs to mojtaheds,Abu Zarr, and now the intelegentsia. Islam in the second sense belong to mojtaheds, Abu Ali Sina, and the seminary theologians. The second form can be grasped by academic specialist, even reactionary ones. The first can be grasped by uneducated believers. This is why sometimes true believers can understand Islam better than the faqih (religious jurist) the `alem (scholars), and the philosophers” 

Petikan ini jelas menunjukkan peranan yang sepatutnya diambil oleh muslim dengan menjadikan Islam sebagai ruang membentuk aspirasi kearah pembangunan manusia melalui perjuangan keadilan sosial dan bukan hanya berfalsafah dan berintelektual sehingga melangit dan tidak mampu membawa mesej yang jelas dan merakyat.

Agamawan-agamawan seharusnya mengambil tanggungjawab ini memimpin umat dan mengerakkan wahyu-wahyu Tuhan dalam membela masyarakat tertindas dan terkebelakang, dan bukan hanya menjadi duta-duta produk , membuat kem-kem motivasi dan mengumpul kekayaan dan secara ironis menggunakan ayat-ayat Tuhan menyuruh mereka bersabar dengan kesusahan dan penindasan.

Akhir kata, marilah sama-sama membina kesedaran dan menggerakkan umat akan tuntutan sebenar wahyu Tuhan dan apakah makna sebenar kehidupan beragama. Pesan-pesan nabi-nabi dan rasul-rasul perlu kita jadikan slogan perjuangan yang berterusan dan menghidupkan jiwa-jiwa yang dalam kelalaian dan bangkit berubah dari keadaaan kesusahan mereka.

(Artikel ini tersiar di Projek Dialog) Oktober 6, 2013)